Sunday, April 5, 2015

Usrah Yang Tak Jadi Itu Bertajuk "Keluarga"



BILA BERBICARA SOAL KELUARGA 

Malam itu,
Gathering batch kami a.k.a. sahabat seperjuangan, sahabat sekolej, sahabat seuniversiti, sahabat sefikrah.
Hampir 4 tahun bersama.
Katanya, nak ber'usrah' malam itu, dan diakhiri dengan makan-makan.

Tajuk usrah telah diberitahu lebih awal, beserta point-point yang boleh dibincangkan.
"Keluarga." Itulah tajuknya.

Malam itu gathering bermula tidak tepat pada waktunya.
Kuliah mingguan di kolej kediaman pada malam itu berakhir lewat, menyebabkan gathering kami dilewatkan sedikit dari masa yang sepatutnya.

Usai tasmi' hafazan masing-masing, tibalah slot untuk pengisian.
Ruang untuk memulakan pengongsian dibuka kepada semua yang hadir, namun deria mata dan bau barangkali lebih tertumpu ke arah sate yang terhidang di hadapan mata menyebabkan suasana krik krik berlaku selama beberapa minit.

Fadhil tiba-tiba bersuara memecah kesunyian.
Mengatakan berkenaan jodoh yang di mana, jangan takut untuk melakukan solat sunat Istikharah semata-mata kerna bimbang si dia di hati bukanlah jodoh kita, kerna bimbang jika jodoh adalah orang lain. Sesungguhnya, hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya.

Luqman menyambung pengisian.
Berkongsi berkenaan baitul haraki yang di mana, pembinaan baitul haraki tidak sepatutnya menjadi faktor lemahnya perjuangan.

Muslimat diam.
Tidak menyambung rantai pengisian.
Tiada isi kah? Segan kah? Lapar kah?
Tidak pasti.

Sesi krik krik berlangsung buat kali kedua.
Namun, dimatikan dengan ayat, "Muslimat, ada yang nak share apa-apa? Kalau takde, okaylah, kita makan."


PENTINGNYA IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK

Jujurnya, walaupun pengisian malam itu hanya daripada beberapa orang, namun padat isinya. Bermanfaat. Terkesan.

Salah satu point yang sepatutnya boleh dikongsikan oleh semua orang pada malam itu ialah cara ibu bapa kita didik kita. Semoga ia boleh dijadikan asas untuk kita mendidik anak kita pula. Sayang, mungkin masing-masing tidak terfikir tentangnya ketika itu. Slot itu berlalu begitu sahaja.

Saya pernah terfikir, kisah hidup saya tidak sehebat orang lain, tidak sesedih orang lain, tidak se'wahh' orang lain, tidak memotivasikan orang lain, dan segala yang tidak itu, kerana saya mempunyai ibu bapa yang berfikrah Islam. Seringkali saya mendengar kisah sahabat-sahabat yang dahulunya 'like a Diva' tetapi akhirnya bertudung labuh, yang dahulunya free hair sehingga tingkatan 3 tetapi akhirnya bertudung labuh, dan saya berasa "Wahh, alhamdulillah, Allah bagi hidayah kat dia." 

Pernah saya bingung, sedih dan tertanya, "Kenapa aku macam tak ada perubahan yang besar je selama hidup ni?" Namun, kerana Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang, dijentikNya lintasan hati untuk saya berpijak ke bumi yang nyata. Astagfirullah. Apa yang saya fikirkan ni? Adakah saya telah bersedih kerana tidak diberikan kejahilan, sedangkan saya sepatutnya bersyukur kerna tidak merasakan saat kejahilan yang dahsyat. Saya tersedar yang mereka diuji dengan kejahilan, dan saya pula mungkin diuji dengan perkara yang lain pula. Ujian setiap orang itu berbeza. 

Abah dan Ummi, berasal dari keluarga yang biasa-biasa saja.
Namun, dengan ketentuan-Nya, Allah temukan Abah dan Ummi dengan satu bulatan gembira yang digelar 'usrah' ketika di universiti masing-masing. Barangkali, itu lah yang menyemai ruh Islamik dalam diri mereka.
Bertemu di tempat kerja, dan bernikah pada usia 23 tahun, mereka mula membentuk sebuah keluarga.
Setahun kemudian, lahirlah saya.

Sejak kecil, Abah telah mendidik (baca: memaksa) kami untuk memakai tudung, solat dan mengaji. Biasalah, budak-budak yang tak dengar kata memang akan mengundang marah pada jiwa Abah yang muda, maka, rotan selebar jari kelinking di gantung melekap pada dinding rumah bagi mendisiplinkan anak-anak. Disiplin yang Abah terapkan kepada kami adik-beradik sedikit sebanyak telah menanam sifat hormat kami kepada Abah.

Tanpa sedar, selama ini Abah telah mendidik saya dengan nilai-nilai berdikari, bertanggungjawab, berfikiran positif, menyayangi orang tua, menjaga kata-kata, menjaga ikhtilat, tidak berhibur berlebihan, amalan membaca dan sebagainya. Benar hadis Rasulullah, "Anak itu ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya samada Yahudi, Nasrani atau Majusi". Semuanya kerana Abah.

Ahh, banyak sebenarnya yang ingin diceritakan jika bercerita tentang cara Abah mendidik anak-anaknya. Mungkin saya akan tulis beberapa siri berkenaan ini. Mungkin cara Abah boleh digunakan untuk mendidik anak-anak kita kelak. Tapi, menurut Prof. Dr. Abdul Karim Bakkar, penulis buku "Successful Family Upbringing Series #4: The Adolescents", gaya didikan dan pembawakan sesebuah keluarga itu, mungkin tidak sesuai untuk sesetengah keluarga. Contohnya, untuk generasi anak-anak abad akan datang, saya rasa mungkin kaedah merotan itu tidaklah dapat memberi kesan lagi, jadi boleh lah di ubahsuai mengikut kesesuaian generasi akan datang.


BERSEDIAKAH KITA MEMBINA KELUARGA?

Mampukah kita menjadi ibu bapa yang baik untuk anak-anak kita?
Mampukah kita memberikan hak yang sebenarnya kepada anak-anak kita?
Mampukah kita mendidik anak-anak untuk menjadi pejuang dalam menegakkan syiar Islam?

Untuk bersedia menjadi ibu bapa, bukanlah ketika lafaz akad nikah, dan bukanlah ketika mendapat anak yang pertama, tetapi, sebelum itu lagi, iaitu sekarang.
Diri ini perlu di didik sebagaimana kita angan-angankan untuk mendidik anak-anak bakal pejuang agama.

Jujurnya, memilih pasangan hidup bukan mudah. Menjadi pasangan hidup juga bukan mudah.
Membina baitul muslim itu bukanlah mudah. Ia tidak bermula dengan cinta romantik.
Namun, segalanya adalah berpaksikan ilmu, gelegak semangat dakwah perjuangan Islam dan niat kerana Allah.

Sesungguhnya, segalanya dalam aturan Allah.
Allah yang Maha Mengetahui segalanya.

"Ya Allah, tunjukkan kami jalan yang lurus, jalan yang Kau redhai, bukan jalan orang-orang yang Kau murkai, dan bukan jalan orang-orang yang sesat".

Wallahualam.




No comments:

Post a Comment

Thanks for the comment guys ^^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...