Wednesday, February 13, 2013

Sedikit kisah tentang Hassan Al-Banna

12 Februari 2013 baru saja meninggalkan kita. 

Ingin saya kongsikan di sini, sedikit kisah tentang latar belakang seorang tokoh yang telah menyusun Al-Mathurat dan pengasas Ikhwanul Muslimin. 

Nampak simple,tapi, cukuplah jika sekadar untuk kita mengenali sedikit siapakah beliau. 

#kawan post kat fb 


As-Syahid Imam Hassan Al-Banna
Tanggal 12 Februari 1949, syahidnya seorang pendakwah terulung dan reformis Islam, Hassan Ahmad Abdul Rahman Muhammed al-Banna atau dikenali Imam Hassan Al-Banna. Pemergiannya yang dipenuhi dengan konspirasi yang dirancang musuh Islam yang tidak senang dengan gerakan dakwahnya.

Beliau ditembak di hadapan Pejabat Ikhwanul Muslimin bersama adik iparnya, Abdul Karim Mansur. Dua orang yang tidak dikenali menerpa dan menembak beliau dan adik iparnya. Sebanyak tujuh das tembakan terkena Imam Hassan Al-Banna. Beliau dibawa ke hospital dan dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar. 

Tiada sebarang rawatan diberikan kepadanya dan akhirnya Hassan Al-Banna meninggal dunia pada tengah malamnya. Kemudian, jenazahnya dihantar ke rumahnya.

Pihak tentera memberi amaran bahawa tiada yang boleh bersuara, tidak boleh ada takziah dan hanya ahli keluarga sahaja yang menguruskan jenazahnya serta pengebumiannya mesti diselesaikan jam sembilan pagi keesokan harinya. Jenazah Imam Hassan Al-Banna diuruskan oleh bapa yang melewati usia 90-an ketika itu. Jenazah hanya disolatkan oleh bapanya serta ahli keluarganya sahaja. 

Apa yang lebih mendukacitakan, Raja Farouk I telah menangguhkan hari jadinya daripada 11 Februari ke 12 Februari untuk sama berpesta meraikan dengan mereka yang meraikan kematian insan terulung ini. 

Imam Hassan Al-Banna hanyalah berumur 43 tahun sewaktu beliau dibunuh. Selama 43 tahun beliau hidup, masa beliau banyak dihabiskan dengan mencurah keringat, bakti kejayaan-kejayaan yang agung dan pendirian yang besar, yang kesannya sentiasa disebut-sebut sepanjang zaman. Sesungguhnya 43 thun merupakan angka yang singkat, tetapi ia diisi dengan ketekunan dan amalan yang berterusan, usaha yang dicurahkan tidak dapat dibandingkan dengan umurnya yang singkat.

Imam Hassan Al-Banna telah mencetuskan banyak fenomena kepada perkembangan Islam dan menjadikan rujukan kepada para gerakan Islam di seluruh dunia.

Sebelum kematiannya, Hassan Al-Banna telah meninggalkan 10 wasiat yang begitu berharga untuk semua jemaah Islam. Sepuluh wasiatnya itu ialah: 

 1. Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang serta-merta walaubagaimana keadaan sekalipun.
 2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.
 3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam.
 4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.
 5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
 6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
 7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.
 8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.
 9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
 10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.


#mogabermanfaat

No comments:

Post a Comment

Thanks for the comment guys ^^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...