Korban Kekal 67

H1N1: Tiada kes kematian baru dilaporkan

Oleh Wan Hazmir Bakar

KUALA LUMPUR: Tiada kes kematian berkaitan Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam pagi tadi dan angka korban keseluruhan kekal pada 67 mangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sejumlah 1468 penghidap penyakit seperti influenza (ILI) sedang dirawat di 86 buah hospital termasuk enam hospital swasta di seluruh negara.

Katanya, dari jumlah itu, 257 telah disahkan positif H1N1 manakalal seramai 134 pesakit dibenarkan keluar hospital.


"Daripada 257 kes yang disahkan H1N1, 36 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) di mana 7 kes adalah kemasukan baru sementara empat kes dipindah keluar dari ICU.


"Daripada 36 kes yang sedang dirawat di ICU, 21 kes (58%) mempunyai faktor risiko iaitu diabetes (5), penyakit kronik (4), asma (3), hamil dan bersalin (3), obesiti (2), kanak-kanak istimewa (2) dan kanak - kanak di bawah usia setahun (2)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, Kementerian Kesihatan mendapati masih ramai pesakit yang mengalami jangkitan H1N1 yang tidak memberi kerjasama yang baik dalam mengawal penularan influenza A.

Katanya, orang ramai perlu sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan H1N1.

"Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan," katanya.

sumber: Berita Harian Online, 20 Ogos 2009

Comments